Seorang
pemuda duduk di hadapan laptopnya. Login facebook. Benda pertama sekali
dia check adalah inbox. Hari ini dia terlihat sesuatu yang dia terlepas
pandang selama ini. Bahagian 'OTHER' di inboxnya. Ada satu, dua mesej.
Mesej pertama, spam. Mesej kedua dibukanya. Mesej 3 bulan yang lepas
tarikhnya.
Ditatap isinya,
"Salam.
Ini kali
pertama abah cuba guna facebook. Abah cuba tambah kamu sebagai kawan
tapi tak dapat. Abah pun tak faham sangat benda ni.
Abah cuba hantar mesej ini kepada kamu. Maaf, abah tak biasa sangat menaip. Ini pun kawan abah yang ajarkan.
Ingat
tak bila pertama kali kamu ada henfon? Masa tu kamu tingkatan 4. Abah
kesian semua anak-anak sekarang ada henfon. Jadi, abah hadiahkan pada
kamu satu. Dengan harapan, kamu akan call abah kalau kamu ada nak kongsi
masalah tentang asrama atau sekolah atau apa-apa saja. Tapi, kamu hanya
call abah seminggu sekali. Tanya tentang duit makan dan belanja. Abah
terfikir juga, topup RM10 tapi call abah tak sampai 5 minit boleh habis
ke prepaid tu?
Masa
kamu kecil dulu, abah ingat lagi bila kamu dah boleh bercakap. Kamu
asyik panggil, 'Abah, abah, abah'. Abah seronok sekali anak lelaki abah
panggil abah. Panggil mama. Abah seronok dapat bercakap dengan kamu
walaupun kamu mungkin tidak ingat dan tak faham apa abah cakapkan di
umur kamu 4, 5 tahun. Tapi, percayalah. Abah dan mama cakap dengan kamu
banyak sangat. Kamulah penghibur kami di saat kami berduka. Walaupun
hanya dengan keletah gelak tawa si kecil.
Bila
kamu sekolah rendah. Abah ingat lagi kamu selalu bercakap dengan abah
ketika membonceng motor dengan abah setiap pergi dan balik sekolah.
Macam-macam kamu ceritakan pada abah. Tentang cikgu, sekolah,
kawan-kawan. Abah jadi makin bersemangat bekerja keras cari duit untuk
biaya kamu ke sekolah. Sebab kamu seronok sekali. Gembira. Ayah mana
tidak gembira anak suka ke sekolah belajar.
Bila
kamu sekolah menengah. Kamu ada kawan-kawan baru. Kamu balik dari
sekolah, kamu masuk bilik. Kamu keluar bila masa makan. Kamu keluar
dengan kawan-kawan. Kamu mulai jarang bercakap dengan abah. Kamu pandai.
Akhirnya masuk asrama. Di asrama, jarak antara kita makin jauh. Kamu
cari kami bila perlu. Kamu biarkan kami bila tak perlu.
Abah
tahu, naluri remaja. Abah pun pernah muda. Akhirnya, abah dapat tahu
kamu ada kekasih. Ketika di universiti, sikap kamu sama sahaja ketika di
sekolah menengah. Jarang hubungi kami. Bila balik cuti, kamu dengan
henfon kamu. Kamu dengan laptop kamu. Kamu dengan internet kamu. Kamu
dengan dunia kamu. Abah tertanya-tanya juga sendiri. Adakah kawan
istimewa itu lebih penting dari abah dan mama? Adakah abah dan mama cuma
diperlukan bila kamu nak nikah sahaja sebagai pemberi restu? Adakah
kami ibarat tabung pada kamu sahaja?
Hakikatnya,
kamu jarang berbicara dengan abah lagi. Ada pun boleh dibilang dengan
jari. Berjumpa tapi tak berkata-kata. Sebumbung tapi seperti tak bersua.
Bertegur bila cuma hari raya. Tanya sepatah, jawab sepatah. Dileter,
kamu tarik muka. Dimarah, kamu tak balik cuti.
Malam ni, abah sebenarnya rindu sangat pada kamu.
Bukan
mahu berleter, mengungkit atau membangkit. Cuma abah dah terlalu tua.
Abah dah di hujung 60 an. Kudrat abah tidak sekuat dulu lagi.
Abah tak minta banyak...
Kadang-kadang,
abah cuma mahu kamu berada di sisi abah. Berbicara tentang hidup kamu.
Luahkan apa yang terpendam dalam hati kamu. Menangis pada abah. Mengadu
pada abah. Bercerita pada abah seperti kamu kecil-kecil dulu.
Apapun. Maafkan abah atas curhat abah ini.
Jagalah solat. Jagalah hati. Jagalah iman.
Mungkin
kamu tidak punya waktu berbicara dengan abah. Namun, jangan pula kamu
tidak punya waktu berbicara dengan Tuhan. Usah letakkan cinta di hati
pada seseorang melebihi cinta kepada Tuhan. Mungkin kamu terabaikan
abah. Namun jangan kamu mengabaikan Tuhan.
Maafkan abah atas segalanya."
Pemuda
menitiskan air mata. Dalam hati perit tidak terkira. Mana tidaknya.
Tulisan ayahandanya itu dibaca setelah 3 bulan beliau pergi buat
selama-lamanya. Di saat tidak mungkin lagi mampu memeluk tubuh tua
ayahnya.
Pengajaran
Ramai daripada kita hanya akan terasa kepentingan seseorang itu tatkala dia sudah tiada
Ramai daripada kita hanya akan terasa kepentingan seseorang itu tatkala dia sudah tiada


0 comments:
Post a Comment